background

Sunday, January 23

Kontrak GSTT disambung semula

Seramai 1,614 guru sandaran tidak terlatih (GSTT) akan kembali senyum apabila Kementerian Pelajaran menyambung semula kontrak yang ditamatkan tahun lalu dalam masa terdekat bagi menampung kekurangan tenaga pengajar.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata bagi 578 guru GSTT di Sabah yang ditamatkan kontrak tahun lalu pula, kementerian turut memutuskan mengkaji semula kedudukan mereka berikutan sebahagian besar daripada mereka hanya berkhidmat selama dua tahun.

Katanya, guru GSTT yang disambung kembali kontraknya adalah mereka yang berkhidmat selama tiga tahun berturut-turut.

Kementerian juga dalam proses untuk menyerap guru GSTT yang masih dalam kontrak dan sudah bertugas lebih tiga tahun ke jawatan guru tetap melalui Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dan Kursus Dalam Cuti (KDC).

“Kita akan panggil kembali (guru GSTT) untuk ditempatkan semula di sekolah yang ada kekurangan guru. Jika sekolah mereka (mengajar) sebelum ini sudah dipenuhi guru terlatih, maka guru GSTT ini akan ditempatkan di sekolah lain.

“Daripada 1,614 guru GSTT berkenaan 388 akan ditempatkan di sekolah rendah dan selebihnya di sekolah menengah. Kedudukan guru GSTT di Sabah pula kita akan kaji, kerana ada juga guru GSTT yang berkhidmat lebih tiga tahun tetapi tidak secara berturut-turut,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sebelum ini, guru GSTT yang ditamatkan kontrak oleh Kementerian Pelajaran merayu supaya kontrak mereka dilanjutkan semula selain berharap dapat diserap sebagai guru tetap.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Hashim Adnan, berkata kementerian perlu mencari mekanisme khusus untuk menyerap lebih ramai guru GSTT sebagai guru tetap.

“Kalau boleh kementerian turut memanggil kembali guru GSTT yang sudah bertugas lebih setahun ataupun dua tahun, kerana mereka ini sudah memiliki pengalaman. Jadi kumpulan ini juga perlu dipertimbangkan,” katanya.

Hashim berkata, guru GSTT lepasan ijazah perlu diberi ruang untuk diserap sebagai guru tetap terutama bagi menampung keperluan kekurangan guru di sekolah menengah.

- BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment

Komen Anda di sini....